Khamis, 19 Mei 2011

Cerpen : Sebuah Pengorbanan

Duk belek-belek , renung-renung folder peribadi aku nie.. terjumpalah aku dengan cerpen nie... heheh nie cerpen aku karang masa aku kat UiTM dulu. masa tu kan jiwang karat... tuh yang berjiwang sakan.....so.. LAYANNNNNnnnnnn hehehe


SEBUAH PENGORBANAN


Imran menongkat dagu. Sesekali tangannya bermain dengan pena. Dihadapkan mukanya ke frem gambar. Di renungnya puas-puas. Cuba menilai gambar yang terisi didalamnya. Dia cuba mencari kelemahan pada diri gadis yang sedang tersenyum di hadapannya. Ternyata sia-sia.
Pantas tangannya mencapai dairi yang terletak di sudut meja. Di selak helai demi helai dan jarinya terhenti pada sekeping gambar yang masih lagi baru. Di renungnya gadis yang tertera di dalam gambar itu . Cuba mencari kelebihan yang ada pada gadis itu. Dia mengeluh panjang.
“Sofi Suraya Bte Saiful.” Nama yang tertera di belakang gambar itu di baca perlahan.
“Emm..secantik dan sebaik orangnya,” puji Imran sambil menyimpan semula gambar di tempat asal.
“Suhada pun apa kurangnya. Malah kalau hendak dibandingkan kecantikkan mereka berdua, ternyata Suhada lebih cantik dan bergaya.” Imran cuba mencari kelemahan Suhada, tetapi setiap kali dia mencari kelemahan di situlah ada kelebihan. Suhada ada segala-galanya. Cantik, bergaya, baik hati, lemah-lembut. Walaupun begitu, masih terdapat banyak kekurangan pada diri Suhada. Namun cinta dan sayangnya terhadap Suhada menjadikannya buta. Dia tak kisah kalau Suhada banyak kekurangan kerana yang penting Suhada telah berjaya menawan hatinya. Baginya segala-galanya adalah Suhada.
Tetapi kehadiran Sofi Suraya, menjadikannya seorang yang celik. Dia terpaksa mencari setiap inci kelemahan Suhada, semata-mata untuk menerima kehadiran Sofi di dalam hidupnya. Ternyata Sofi lebih baik daripada Suhada malah terlalu baik. Sofi gadis yang penyabar, rajin, lemah-lembut, dan yang paling penting Sofi alim, taat pada perintah Tuhan. Tetapi kerana cintanya pada Suhada , kebaikan yanag ada pada diri Sofi masih lagi tidak mencukupi untuk menawan hatinya, baginya Sofi masih lagi kurang.

* * * *

“Imran..kau jangan nak mengada-gada. Nanti apa pulak mak si Sofi tu kata bila tahu kau nak putuskan pertunangan tu.!,” tegas kata-kata yang lahir dari Faridah.
“Mak.. Tolonglah Im. Kalau Im pilih Sofi, Suhada tu macam mana?. Kami dah kawan hampir empat tahun.”
“Itulah kau...kawan diam-diam!. Sofi tu baik orangnya, rugi kalau kau lepaskan dia.” Imran diam. Memang Sofi tu baik tapi hati ini sudah sayang pada Suhada seorang. Habis nak buat macam mana. Keluh Imran di dalam hati.
“Sudah dekat setahun kami bertunang , baru emak bagi tau Im yang Im sudah ditunangkan dengan Sofi. Kenapa emak tak nak Tanya Im dulu?,” soal Imran kecewa dengan tindakan ibunya.
“Kau juga yang suruh emak carikan dulu. Kau pun satu telefon rumah nie kat berbulan-bulan ada sekali dua., dah tu bukannya lama-lama, asyik nak cepat jer. Macamlah mahal sangat duit telefon tu,” leter Faridah tak puas hati dengan sikap anak sulungnya itu. Setahun adalah dua, tiga kali balik ke kampung. Alasannya sibuk bekerja. Entahlah kadang-kadang dia rasa seolah-olah tidak mempunyai anak. Zarina pun dah lama tak balik ke kampung. Raya tahu lalu balik ke rumah emak mertuanya. Rasa sedih mula membelenggu jiwanya. Nasib baik Sofi selalu datang ke rumahnya. Kehadiran Sofi bagaikan cahaya yang menyinari hidupnya yang sepi.
“Maafkan Im mak. Bukan Im nak kecewakan mak tapi…’” katanya terhenti. Seolah-olah ada benda yang tersekat di kerongkongnya.
“Kalau kau tak suka si Sofi tu, kenapa kau tak bagi tahu emak awal-awal lagi. Kenapa hari ini baru nak bagi tahu. Padahal emak dah bagi tahu lima bulan lepas.”
“Im…”
“Emak tak tahu nak cakap apa lagi. Im fikirlah sendiri. Kalau Im nak putuskan juga, Im cakaplah sendiri dengan Sofi. Im harus ingat, hanya tinggal dua minggu lagi hari perkahwinan korang berdua. Kesian kat si Sofi tu.” Faridah akhirnya mengalah. Tak mahu memaksa Imran lagi. Walaupun hatinya kecewa tapi apakan daya dia untuk memaksa Imran kerana perkahwinan adalah hak Imran sendiri. Dia yang berhak memilih siapa yang bakal menjadi isterinya.

* * * *

Imran menggaru kepalanya yang tidak berapa gatal. Fikirannya kusut bila memikirkan hari perkahwinannya yang semakin hampir. Sudah seminggu dia tidak menelefon Suhada. Dia tidak sanggup mendengar suara manja Suhada meminta kepastian darinya. Dia tak mampu untuk membuat keputusan ketika itu. Antara Suhada dan Sofi kedua-duanya cantik, baik. Terlalu payah untuk dia membuat keputusan. Lebih-lebih lagi keputusan yang akan diambilnya nanti pasti akan melibatkan hati ibunya.
“Ring..ring..ring.” Telefon di sudut mejanya berbunyi nyaring. Dengan langkah malas dia menuju ke arah telefon
“Hello, assalamualaikum..”
“Waalaikumsalam…Im ke tu ?. nie Adah nie,” suara Suhada bergema di telefon.
“Ya. Im bercakap nie. Adah apa khabar?,” soal Imran sebaik saja mendengar suara manja Adah di corong telefon.
“Baik. Im sihat tak?. Errr macam mana dengan ibu Im?.”
“Sihat. Macam mana apa tu?,” soal Imran pura-pura hairan. Walaupun dia tahu maksud sebenar Suhada menelefon. Tak lain dan tak bukan untuk meminta kepastian. Kepastian yang akan menentukan setakat mana perhubungan mereka.
“Alah! Buat-buat tak tahu pulak. Tunang macam mana?.”
“Errr..tunang sihat. Emak pun sihat.”
“Bukan itulah. Tunang setuju ker tidak?.”
“Im.. tak tanya lagi,” jawab Imran acuh tak acuh.
“Habis tu bila nak tanya?. Kalau Im tak suka kat Adah cakap awal-awal. Jangan buat Adah macam nie. Sakit hati Adah tau,” luah Suhada sayu tapi tegas.
“Adah , emm..Im tak dapat nak buat keputusan sekarang. Tetapi ketahuailah hanya Adah yang bertahta di hati ini.” Imran cuba menenangkan hati Suhada. Dia tahu Suhada tertekan.
“Biarlah Adah undur diri. Im dengarlah cakap ibu Im. Jangan kecewakan dia.” Imran diam. Rasa bersalah mula menghantui dirinya. Siapa yang akan kecewa?. Aku atau Ibu?. Suhada atau Sofi?. Akukah yang bersalah, kerana berdiam diri bila mendapat tahu pertunanganku dengan Sofi dulu?. Bukan maksud aku untuk berdiam diri, tapi aku lakukan itu kerana tak mahu ibu kecewa. Selama ini segala apa yang ku ingini telah tercapai kerana ibu. Tak akan impian ibu yang satu ini juga tak mampu aku tunaikan. Keluh Imran.
“Im..Im! Im dengar tak apa yang Adah cakap nie?,” soal Suhada bila menyedari Imran tiba-tiba berdiam diri.
“Im dengar.”
“Tipu!. Malaslah Adah nak cakap lagi!.” Suhada meletak gagang telefon sekuat hatinya. Rasa sakit hatinya bertambah dengan sikap Imran itu. Tanpa di sedari, air mata mula mengalir deras di pipinya. Kesangsian mula menghantui jiwanya. Sangsi pada janji-janji manis yang pernah diungkap oleh Imran satu ketika dulu. Sangsi pada cinta Imran. Sangsi pada dirinya sendiri.
Perlukah aku mengundur diri ketika ini. Di saat cintaku terlalu tinggi pada Imran, hadir orang ke tiga. Salah siapa? Adakah aku masih lagi kurang untuk memiliki Imran. Tak cukupkah kasih sayang yang telah aku berikan padanya? Mungkin takdir. Tetapi patutkah aku memaksa Imran untuk menyarung cincin di jari manisku atau perlukah aku mengundur diri. Membiarkan hati terluka dan kecewa.

* * * *

Imran duduk bertelaku di jendela. Matanya merewang ke langit biru, melihat bintang-bintang yang berkerdipan.
“Susah-susah sangat, aku kahwin dua ! Habis cerita,” bisik Imran di dalam hatinya sambil tersenyum. Lelaki kan boleh kahwin empat. Seminggu lagi aku akan berkahwin dengan Sofi, lepas itu seminggu kemudian aku kahwin pula dengan Suhada. Hah kan settle problem. Tapi mahu ke mereka bermadu?. Suhada awal-awal dah angkat kaki. Susah katanya bermadu. Memang pun susah. Lelaki lagilah susah. Lebih-lebih lagi macam aku nie. Kerja apalah sangat, nak sara dua orang bini. Nanti kalau beranak-pinak aku jugak yang susah. Fikir Imran sambil mengerut dahinya.
Hari rabu nie aku dah janji nak berjumpa dengan Sofi. Aku perlu berterus-terang dengan dia. Tak akan selama-lamanya aku perlu rahsiakan padanya. Dia terlalu baik bagi aku. Kadang-kadang aku rasa tak sepadan dengannya.
“Kalau jadi jumpa, maksudnya dah empat kali aku keluar berdua dengan Sofi,” Imran mencongak-congak hari. Dia rasa tenang bila keluar dengan Sofi. Baginya Sofi adalah gadis yang sempurna dalam serba-serbi. Sofi hanya layak di nikahi oleh lelaki yang benar-benar baik, bukan seperti dirinya. Jahil tentang ilmu agama. Kadang-kadang dia rasa malu dengan dirinya. Malu dengan Sofi. Gadis yang masih suci padahal dia!. Dia pernah menyentuh dan membelai Suhada dan gadis lain sebelum Suhada. Tetapi dengan Sofi, tak pernah sekalipun dia menyentuh tangan Sofi semenjak dia mengenali Sofi dari dulu lagi.

* * * *

“Sofi minta maaf. Sofi tak sangka kehadiran Sofi selama ini menganggu perjalanan hidup abang,” keluh Sofi sebaik saja Imran menerangkan perkara sebenar.
“Sofi tak bersalah. Abang yang mengheret Sofi ke dalam masalah ini,” nafi Imran cuba menghilangkan rasa bersalah di hati Sofi.
“Biarlah Sofi undur diri. Abang pilihlah kak Adah. Sofi tak mahu dituduh perampas, kerana Sofi tak sekejam itu,” kata Sofi lemah. Pandangannya dilemparkan ke tengah laut. Matanya liar memandang bot-bot kecil di tengah laut di tiup angin terumbang-ambing. Tak ubah seperti dirinya tika itu. Harapannya untuk menjadi isteri Imran dalam masa tiga hari lagi akan hancur. Hancur begitu saja.
Imran mengeluh panjang. Dia mencuri pandang ke wajah Sofi. Ternyata wajah Sofi sugul. Mana tidaknya, tinggal tiga hari lagi hari perkahwinan mereka. Semua persiapan dah dibuat. Hanya menunggu ijab-kabul. Tiba-tiba impian itu hancur. Penantian Sofi selama setahun itu sia-sia belaka.
“Abang bukan bermaksud begitu. Abang tak mahu melukakan hati Sofi mahupun kak Adah. Tapi yang paling penting abang tak mahu mengecewakan hati ibu. Ibu amat berharap Sofi menjadi ratu di hati abang, tetapi hati abang sudah dimiliki oleh kak Adah.”
“Habis itu abang nak Sofi buat apa lagi?. Tak akan Sofi nak pujuk hati makcik padahal hati Sofi pun Sofi tak boleh nak pujuk. Kalau boleh pun, pasti Sofi tak sampai hati nak tengok makcik bersedih,” soal Sofi tak tahu untuk menyelesaikan masalah yang membelenggunya tika itu. Tudung biru yang di pakainya di tiup angin kencang. Sekencang tamparan Imran terhadap dirinya tika itu.
Imran diam membisu. Soalan Sofi terawang-awang tanpa jawapan.

* * * *

Orang ramai yang berpusu-pusu mulai pulang ke rumah masing-masing. Rumah Faridah yang riuh-rendah jadi sepi. Tiada lagi bunyi pinggan mangkuk atau suara orang di luar rumah. Tiada suara anak-anak kecil berlarian di luar. Bunyi kenderaan mulai sepi.
Imran menjenguk kepalanya ke luar tingkap. Memerhati bintang-bintang yang berkerdipan di awan biru. Tak sangka hari ini adalah hari yang bersejarah di dalam hidup aku. Hari yang ku nanti-nantikan dalam seumur hidupku. Akhirnya aku terpaksa mengecewakan hati orang yang amat ku sayangi.
“Inilah pengorbanan Adah pada Im. Adah harap Im tak hampakan pengorbanan Adah nie,” kata-kata Suhada petang semalam masih tergiang-giang di telinganya. Walaupun dia kecewa dengan sikap Suhada tapi dia terpaksa menerimanya.
“Abang ingat dekat kak Adah yer?,” soal Sofi yang tiba-tiba muncul di sisi Imran. Imran menoleh sambil tersenyum. Wajah Sofi di renungnya dalam-dalam. Kecantikkan Sofi terserlah malam itu. Inilah kali pertama dia melihat rambut ikal Sofi yang panjang melepasi bahu. Dalam diam dia mengakui, dia adalah lelaki yang paling beruntung kerana telah berjaya memilik Sofi.
“Sofi marah ke?,” duga Imran.
“Taklah. Cuma cemburu jer. Lagipun siapalah Sofi nie, bukannya ratu di hati abang. Sofi cuma alat untuk mengembirakan hati ibu abang dan sekaligus menyelesaikan masalah abang,” luah Sofi segala yang terbuku di lubuk hatinya.
“Abang tak pernah anggap Sofi alat. Kini Sofi adalah isteri abang yang sah. Memanglah hati ini sudah dimiliki oleh orang lain tapi abang akan cuba meletakkan nama Sofi di tempat hati abang. Abang harap Sofi faham,” pujuk Imran sambil menghampiri Sofi yang tunduk di bucu katil.
“Sofi minta maaf. Bukan niat Sofi nak sakiti hati abang. Cuma Sofi mengeluh pada takdir hidup Sofi. Sofi tak harap apa-apa dari abang, Cuma Sofi harap abang akan jaga Sofi untuk selama-lamanya dan kalau abang nak menikahi kak Adah, dengan rela hati Sofi benarkan.” Imran terharu mendengar kata-kata Sofi.
“Abang tak mahu apa-apa lagi. Cuma abang harap kita akan hidup kekal selama-lamanya sebab abang tak mahu pengorbanan yang Suhada berikan pada kita akan sia-sia.” Harap Imran sambil meramas-ramas tangan Sofi lembut. Sofi diam membisu.
“Abang akan cuba mencintai dan menyayangi diri Sofi, tapi ianya perlukan masa. Abang harap Sofi faham.” Sofi mengangguk. Mengharapkan kata-kata yang lahir dari mulut Imran itu akan tertunai. Dalam diam Imran berdoa pada Tuhan, mengharapkan rumahtangganya kekal untuk selama-lamanya. Dia berjanji akan memupuk perasaan cinta dan sayangnya pada Sofi. Perlahan-lahan Imran mengucup mesra dahi Sofi dengan penuh kasih sayang. Terima kasih Suhada.

2 ulasan:

bidadarindu berkata...

perghhh...aku baca best je zie...tapi pada pendapat aku,next time kalau kau nak publish kat blog,jgn publish semua..sikit2...biar pembaca tertunggu2 apa cerita selanjutnya..dengan cara tu tiap2 hari org tertunggu2 n selalu je nak bukak blog kau...traffic makin tinggi....bila blog selalu org masuk baru boleh bisnes...he he he..

good job...ikhlas nie...best citer tu..

impian dulena berkata...

thanks cepul hehe.. orang pertama puji aku nie... heheee...
betul gak ko kata tuh.. buat orang suspen sikit yer.. tunggu aku upload cerpen panjang aku.. hah tajuk jer cam nama blog ko hehee.. Bidadari..